Sakit Lutut: Punca, Rawatan dan Bila Perlu Jumpa Doktor

Sakit lutut ni boleh datang dengan macam-macam cara. Pemain futsal terpulas lutut masa main. Pelari yang naikkan jarak atau speed terlalu cepat. Warga emas, rasa lutut ketat setiap kali bangun dari kerusi.

Kadang-kadang puncanya jelas, memang ada kecederaan. Kadang-kadang sakit tu datang sikit-sikit. Mula-mula sakit masa naik tangga, lepas tu masa mencangkung, lama-lama duduk lama pun dah rasa tak selesa.

Di halaman ni, saya terangkan apa yang ada dalam sendi lutut, punca-punca biasa sakit lutut, apa yang doktor akan periksa, dan macam mana rawatannya berjalan di klinik saya di Kuantan.

Apa yang ada dalam sendi lutut

Lutut ialah sambungan antara tulang peha (femur) dan tulang keting (tibia). Tempurung lutut (patella) duduk di bahagian depan, dan ia bergerak naik turun setiap kali lutut dibengkok atau diluruskan. Dalam ruang sendi yang kecil ni, ada beberapa struktur penting, dan setiap satu ada fungsinya sendiri.

  • Tulang rawan (cartilage). Lapisan licin yang menyalut hujung tulang supaya sendi boleh bergerak dengan lancar.
  • Meniskus. Kusyen kenyal di antara tulang peha dan tulang keting. Fungsinya menyerap hentakan setiap kali anda berjalan, melompat atau mendarat.
  • Ligamen. Tali kuat yang mengikat tulang dengan tulang. Ligamen inilah yang pastikan lutut stabil dan tak tergelincir.
  • Tendon. Tali yang menyambungkan otot dengan tulang. Bila otot mengecut, tendon yang tarik tulang supaya lutut boleh bergerak.

Kenapa perlu tahu semua ni? Sebab setiap struktur, bila cedera, akan bagi rasa yang berbeza. Ligamen yang koyak biasanya buat lutut rasa longgar. Meniskus yang koyak pula boleh buat lutut rasa tersangkut. Tendon yang radang selalunya sakit bila digunakan. Sebab tu doktor akan tanya banyak soalan dulu sebelum mula periksa lutut anda.

Bila ada bahagian yang cedera, lutut akan tunjuk tandanya. Ada yang sakit, ada yang bengkak, ada yang rasa tak stabil, ada yang tak boleh bengkok atau lurus sepenuhnya. Lain punca, lain tandanya. Tugas doktor ialah cari punca sebenar di sebalik tanda-tanda ni.

Punca biasa sakit lutut

Sakit lutut bukan satu penyakit. Puncanya banyak. Cara paling mudah nak faham ialah tengok situasi mana yang paling dekat dengan anda.

Kecederaan sukan

Biasanya jadi bila lutut terpulas, berhenti mengejut, atau terkena hentakan. Kes macam ni banyak kami jumpa dalam futsal, bola sepak, badminton dan bola jaring. Antara yang paling biasa:

  • Ligamen koyak, termasuk ACL. ACL ialah ligamen yang menghalang lutut tergelincir ke depan. Tandanya, ada bunyi "pop" masa cedera, lutut bengkak dalam masa beberapa jam, dan lepas tu lutut rasa longgar.
  • Meniskus atau tulang rawan koyak. Sakitnya biasanya di garisan sendi, sama ada sebelah dalam atau luar lutut. Kadang-kadang lutut rasa tersangkut, atau terkunci terus.
  • Kecederaan tendon. Tendon boleh tegang, radang atau koyak bila beban yang diterima melebihi apa yang ia mampu tanggung.

Penggunaan berlebihan (overuse)

Tak semua sakit lutut berpunca daripada satu kejadian. Beban yang berulang-ulang pun boleh menyebabkan kecederaan.

  • Runner's knee. Sakit di bahagian depan lutut, di sekitar atau di belakang tempurung. Biasanya lebih teruk bila turun bukit atau turun tangga.
  • Jumper's knee. Sakit betul-betul di bawah tempurung lutut, pada tendon yang bekerja keras setiap kali anda melompat dan mendarat.

Kehausan sendi

Osteoarthritis berlaku bila tulang rawan semakin nipis akibat usia dan penggunaan. Lutut rasa sakit dan kaku, terutamanya bila baru mula bergerak dan selepas aktiviti. Ini topik yang besar, jadi kami terangkan dengan lebih lengkap di halaman osteoarthritis lutut.

Punca lain

Gout (atau orang lama panggil Asam Urat), juga boleh menyerang lutut. Lutut jadi bengkak, merah dan sangat sakit, selalunya secara tiba-tiba, sampai kadang-kadang disangka kecederaan biasa. Ada juga punca-punca lain, sebab tu penilaian doktor penting sebelum mulakan apa-apa rawatan.

Apa yang Doktor Harith akan periksa

Penilaian bermula dengan sesi bersembang. Doktor akan tanya macam mana sakit tu bermula, aktiviti apa yang buat ia lebih teruk, ada bengkak atau tak, dan sama ada lutut pernah rasa tersangkut atau longgar.

Lepas tu barulah pemeriksaan fizikal. Doktor akan rasa bahagian lutut yang sakit, test ligamen, dan tengok sejauh mana lutut boleh bergerak dan sekuat mana otot-ototnya. Kadang-kadang doktor akan minta anda berjalan, mencangkung atau melompat sedikit, untuk tengok macam mana lutut berfungsi bila menanggung berat badan.

Dalam kebanyakan kes, doktor dah boleh tahu masalahnya pada peringkat ni. Melalui pemeriksaan, bukan melalui scan.

Scan hanya dibuat bila ada soalan yang pemeriksaan tak dapat jawab.

  • X-ray. Untuk tengok tulang, pastikan tiada patah, dan lihat tanda-tanda kehausan sendi.
  • Ultrasound. Untuk tengok tendon dan tisu lembut di sekeliling lutut.
  • MRI. Untuk tengok struktur dalam lutut dengan lebih terperinci, seperti ligamen, meniskus dan tulang rawan.

Jadi, tak semua sakit lutut perlu MRI pada lawatan pertama. Doktor akan tentukan scan yang sesuai selepas periksa, bukan sebelum.

Di ISMEC, X-ray boleh diuruskan terus oleh klinik. Pesakit akan dibawa ke SASMEC @IIUM dengan buggy atau van. MRI juga boleh diuruskan oleh klinik, atau anda boleh bawa CD MRI sendiri kalau dah pernah buat.

Lepas periksa, apa seterusnya?

Rawatan lutut yang baik bermula dengan penilaian yang betul. Bukan terus dengan suntikan, dan bukan terus dengan pembedahan. Urutannya macam ni:

  1. Penilaian. Sejarah, pemeriksaan fizikal, dan scan kalau perlu.
  2. Diagnosis. Doktor terangkan apa yang berlaku dalam lutut anda, dan kenapa.
  3. Pilihan rawatan. Ditentukan ikut diagnosis. Antaranya:
    • Ubat, untuk kawal sakit di peringkat awal supaya anda masih boleh bergerak.
    • Fisioterapi, untuk kuatkan otot peha dan pinggul, pulihkan pergerakan lutut, dan bina semula kekuatan.
    • Suntikan, untuk kes yang sesuai, termasuk PRP. Penerangan lanjut tentang PRP ada di halaman prosedur.
    • Pembedahan, hanya bila betul-betul perlu. Contohnya ligamen koyak sepenuhnya, atau lutut yang terkunci.
  4. Pemulihan. Program berstruktur ikut tahap lutut, dengan sasaran yang jelas di setiap peringkat. Biasanya melibatkan senaman, perubahan cara berlatih, dan sesi susulan untuk pantau kemajuan.
  5. Kembali beraktiviti. Anda balik bermain, berlatih atau bekerja bila lutut dah betul-betul bersedia, bukan sekadar bila sakit dah hilang.

Ada satu soalan yang hampir semua pesakit tanya: "Sakit lutut ni kena operate ke?"

Jawapannya, tak semestinya. Keputusan untuk pembedahan dibuat selepas penilaian penuh, bukan berdasarkan X-ray semata-mata. Ada kes yang pulih dengan fisioterapi dan pengurusan beban. Ada juga yang memang perlukan pembedahan supaya boleh kembali aktif dengan selamat. Yang penting, ikut urutan. Diagnosis dulu, baru buat keputusan.

Tanda bahaya, bila perlu datang segera

Ada gejala yang tak boleh ditangguh. Dapatkan penilaian segera kalau anda alami mana-mana yang berikut:

  • Lutut tak boleh tampung berat badan.
  • Bengkak teruk, atau cepat membengkak selepas cedera.
  • Lutut terkunci dan tak boleh diluruskan.
  • Lutut rasa longgar atau "give way" bila berjalan atau berpusing.
  • Ada bunyi "pop" atau macam sesuatu patah masa cedera.
  • Demam, bersama lutut yang bengkak dan merah.

Semua tanda ni perlu diperiksa cepat, sebab ia mungkin petanda kecederaan yang perlukan rawatan awal. Doktor akan nilai keadaan anda, tentukan sama ada scan perlu dibuat segera, dan terangkan langkah seterusnya.

Soalan Lazim

Apa punca biasa sakit lutut?

Antara yang paling biasa ialah kecederaan sukan seperti ACL koyak, meniskus atau tulang rawan koyak, dan kecederaan tendon. Ada juga yang berpunca daripada beban berulang seperti runner's knee dan jumper's knee, kehausan sendi (osteoarthritis), dan punca lain seperti gout. Setiap punca bagi gejala yang berbeza, jadi penilaian doktor yang akan pastikan apa sebenarnya berlaku pada lutut anda.

Bila perlu jumpa doktor untuk sakit lutut?

Datang segera kalau lutut tak boleh tampung berat badan, bengkak teruk atau cepat membengkak, terkunci atau rasa longgar, ada bunyi "pop" masa cedera, atau demam bersama lutut bengkak dan merah. Kalau sakit berterusan, berulang, atau mengganggu kerja dan sukan, buat temujanji. Jangan tunggu sampai teruk.

Sakit lutut mesti kena operate ke?

Tak semestinya. Keputusan dibuat selepas penilaian penuh, bukan berdasarkan X-ray semata-mata. Ada kes yang pulih dengan fisioterapi, pengurusan beban dan ubat, dan ada yang memang perlukan pembedahan. Bila punca dah jelas, doktor akan terangkan pilihan yang ada dan buat keputusan bersama anda, ikut aktiviti dan matlamat anda.

Buat Temujanji

Penilaian dibuat di IIUM Sports Medicine Clinic (ISMEC), IIUM Kampus Kuantan.

Bawa MyKad, surat rujukan kalau ada, dan rekod scan lama seperti filem X-ray atau CD MRI. Surat rujukan tak wajib. Tapi kalau ada scan lama, doktor boleh bandingkan dengan keadaan lutut sekarang.

Tempah melalui WhatsApp di +609 591 2609. Sila buat temujanji sebelum datang.

Waktu klinik: Isnin dan Khamis, 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Jumaat, 8.30 pagi hingga 11.30 pagi.

Temujanji pertama ambil masa lebih kurang 30 hingga 45 minit.

Untuk panduan tentang keadaan lain, lawati halaman maklumat pesakit.

Artikel ini adalah maklumat umum, bukan nasihat perubatan peribadi. Sila berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.